Monday, September 1, 2008

DISKUSI MINDA 1 : KENAPAKAH KERIS ANTIK BEGITU TINGGI NILAI & HARGANYA BERBANDING KERIS BARU ?

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah swt melalui blog ini telah mampu mengumpulkan sebilangan peminat dan pencinta kesenian purba seni warisan bangsa Melayu dalam menyuburkan minat mereka terhadap khazanah warisan agar tak lapuk dek panas tak lekang dek hujan...

Ruangan Diskusi Minda kali ini adalah terbuka kepada semua rakan dunia pengkerisan untuk mengutarakan pandangan terbuka terhadap persoalan kenapakah keris antik/ lama / purba nilaiannya lebih tinggi berbanding dengan keris buatan baru ?

Melalui ilmu yang amat cetek ini penulis ingin mengutarakan beberapa pandangan :

Pertama :
Seantero dunia telah mengakui betapa barangan antik begitu tinggi nilainya. Sebutlah apa sahaja barangannya ; kereta antik, bangunan antik, perabot antik, tembikar antik, keris antik pasti nilaiannya lebih tinggi berbanding barangan baru.

Barangan antik begitu 'limited' jumlahnya tiada dua, tiada tiga dan mungkin 'tunggal' penghasilannya. Malah bilangan pembuatan sesebilah keris biarpun sama bentuk dan jenisnya namun amat berbeza keunikannya. Keris antik dibuat oleh pandai besi purbakala dengan menggunakan tangan tidak seperti keris baru yang menggunakan mesin serta boleh dihasilkan secara berulang kali. Bila disebut buatan 'tangan' pasti hasilnya tidak serupa dan tidak banyak jumlahnya.

Kedua :
Kesenian antik adalah terhasil dari kreativiti dan kesenian tangan si pandai besi purbakala. Biarpun buatannya tanpa menggunakan peralatan / mesin secanggih zaman kini namun hasilnya keseniannya kadang-kadang belum mampu ditandingi oleh hasil tukangan pada hari ini.

Oleh kerana kesanjungan nilainya yang tinggi apabila diterjemahkan di dalam bentuk nilaian wang ringgit maka nilaiannya pasti lebih tinggi berbanding keris baru.

Ketiga :
Harus diingat jua... Pandai keris silam membuat sesebilah keris dengan matlamat yang tertentu sebagaimana kod buatannya yang diterjemahkan melalui bacaan pamornya untuk menjadi panduan kepada generasi baru. Pembuatannya disertai dengan doa serta mentera yang terpilih sebagai pelengkap kepada isi dan matlamat pembuatan sesebilah keris.

Bahan buatannya terdiri dari besi yang terpilih serta dipilih dari pelbagai tempat umpamanya besinya diambil dari 7 buah bukit yang terletak di 7 buah negeri. Apa yang pasti ketahanannya adalah luar biasa berbanding dengan besi baru.

Ia jua ditempa pada masa, pada hari yang tertentu serta dilengkapi dengan petua tertentu sesuai dengan amanat perguruan si pandai besi tersebut... engkadang itu sebilah keris memakan masa bertahun untuk disiapkan.

Setelah disiapkan ianya akan diuji adakah menepati maksud dan tujuan pembuatannya... Malah jika gagal mencapai matlamat pembuatannya kadang kala ia akan terus dimusnahkan, dipatahkan atau ditempa semula.

Segala-galanya adalah jauh dari nilai komersial sebagaimana pembuatan keris baru pada hari ini. Nilai keris antik begitu tinggi kerana ia adalah khazanah lama yang tiada dua tiada tiga bilangannya.

Keempat :
Persoalan kenapakah empunya keris antik meletakkan 'mahar' yang begitu tinggi terhadap kerisnya maka jawapannya hak meletakkan mahar sesebilah keris antik sememangnya menjadi hak mutlak kepada pemiliknya.

Sila rujuk kepada koleksi Gred A. cikgumie.multiply.com. Contohnya anak sundang malela telah diminta untuk dimaharkan setinggi RM 15,000 namun telah ditolak oleh empunyanya. Adakah penolakan ini mengambarkan ketidak mahiran atau ketidak cerdikan pemiliknya ? Jika jawapannya ya. Kenapa masih ada yang ingin menawarkan dengan harga yang tinggi sebegitu rupa.

Oleh itu dalam menghayati keunikan senjata kesenian purba nilaian wang ringgit bukanlah ukurannya namun kepuasan pemiliknya memilikinya itulah yang menjadi sandaranya. Sekian.

No comments: