Friday, October 10, 2008

DISKUSI MINDA 4 : PENGENALAN KERIS

Keris adalah senjata tajam yang pada asalnya digunakan oleh orang Melayu sebagai senjata untuk menikam atau menusuk. Ia biasanya digunakan dalam ruang yang terbatas, yang penggunaan pedang serta lembing kurang sesuai digunakan.

Mata keris ada yang lurus dan ada yang berluk. Orang Melayu percaya mata keris yang berluk sangatlah bisa dan jika terkena tikamannya boleh membawa maut serta merta.

Ganjar yang terdapat pada pangkal mata keris membezakan keris dengan senjata lain. Mata keris yang mempunyai 2 belah mata tajam melebar dari hujung turun ke arah pangkal menuju ke atas ganjar.

Ganjar memudahkan keris dipegang. Semasa dipegang ibu jari ditempatkan ke atas bahagian picitan di pangkal mata, sambil jari telunjuk ditempatkan di bawah ganjar untuk menahan berat mata. Dalam pada itu ganjar yang berlanjutan pada bahagian belakang mata dapat melindungi tulang-tulang ketuk jari.

Keris ditempa dengan menggunakan sekurang-kurangnya 2 atau 3 jenis logam, iaitu besi, baja dan bahan pamor. Sebilah senjata yang diperbuat bukan dengan cara ditempa, tidak boleh dikatakan keris. Contohnya keris daripada guntingan zink, tong dram, tembaga kuning dan sebagainya.

Keris juga sering dihubungkan dengan kepercayaan adanya kuasa ghaib, kesaktian ataupun keistimewaan yang ada padanya. Umpamanya kepercayaan yang menyatakan sesebilah keris yang memiliki hikmat yang tinggi boleh membunuh musuhnya dengan hanya menikam bekas tapak kaki orang yang dimaksudkan itu.

Perkara yang istimewa tentang mata keris ialah hiasan ataupun motif yang menghiasi permukaan mata keris yang disebut sebagai ‘pamor’. Dipercayai pamor ini mampu membawa tuah yang tertentu seperti misalnya mampu membawa kebahagian dan ketenteraman kehidupan kepada pemakai atau pemiliknya.

Malah pamor juga dianggap sebagai ‘kod’ pengenalan generasi yang terdahulu dalam menempa sesebilah keris sebagai panduan kepada generasi terkemudian tentang maksud atau tujuan sesebilah keris itu dihasilkan. Contohnya pamor keris bugis yang dikenali sebagai ‘Pucuk Rebung’ dipercayai mampu mengangkat darjat pemilik atau pemakainya.

No comments: